
malam itu,
berdiri memandang ke depan..
dan dia bilang,
perlahan,
dari jauh, KL nampak tenang,
dan di tangan,
ada kuaci,
yang dia kopek...
dari jauh, KL nampak tenang....
Terima kasih,
untuk kuaci,
untuk tenang,
dan untuk sebuah senyuman.
dalam lingkungan diri, ada ceritera yang tertulis, difahami dan kadang kala diragui...

--------**-----------
Judul : Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus
Pengarang : Nisah Haji Haron
Penerbit : Ujanailmu Enterprise
Genre : Kumpulan Cerpen
Mukasurat : 243 halaman
Cetakan Pertama : 2006
ISBN : 9834326203
Pada mulanya, rasa seperti malas untuk mengulas buku-buku seperti yang dilakukan oleh Bapak JiwaRasa. Cukup sekadar membaca seperti selalu-selalunya aku lakukan. Tapi, untuk hari ini yang lambat berlalu dengan satu beban maha berat di dada, rasanya tak salah berkongsi garapan kumpulan ceritera ini. Ini buku pertama tulisan Nisah Haji Haron yang aku baca. Dan untuk meraikan kemasukan namanya ke dalam senarai penulis-penulis buku di rakku, ini juga komen pertama tentang buku. Rupanya gerangan penulis ini sudah lama aktif, dan kebanyakan novel ini dekat dengan dunia profesionalismenya yang berlatar belakangkan undang-undang. Untuk setiap cerpen yang termuat, ada ulasan bagaimana Nisah Haji Haron mendapat idea, proses untuk menghasilkan cerpen tersebut termuat pada nota kaki.
Buku ini dibeli secara online dalam pakej Sasterawan yang termuat 3 karya daripada penulis besar, iaitu;
1. Kekasih Sam Po Bo - Faisal Tehrani
2. Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus - Nisah Haji Haron
3. Rindu Ibu (Edisi Santai) - SN A. Samad Said
Bersama dengan itu, aku tambah lagi Sangeetha dari Azizi Haji Abdullah. Teman-teman bising mengomel buku-buku yang aku beli, terlalu berat dan memeningkan... Errr... aku yang beli, suka hati akulah!! eheheheheh.... Tapi kalau nak pinjam, bila-bila masa sahaja dialu-alukan, janji dipulangkan... Nashkah yang baik dengan ilmu yang menggunung sia-sia kalau terbiar di atas rak tanpa dikongsi.
Jadinya, yang ini sudah usai dibaca.
Ini aku copy dari UjanaIlmu.
Jauh ke hujung antologinya ~ Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus ~ cerpen-cerpen Nisah Haron mencapai puncak ranumnya. Dalam bahasa yang semakin santai dan manis, kisah-kisahnya menjadi lebih menduga dan lebih mencabar. Maksudnya kita tidak mungkin menikmati karyanya begitu saja tanpa terlebih dulu berbekal ragam ilmu dan kesabaran.
Cerpen demi cerpen Nisah Haron, secara sedar atau alpa, tetap menghantar teka-teki atau teka-kata kepada pembacanya.
Tapak demi tapak, dalam ragu dan debar, kita terpaksa belajar menyusuri dan menekuni manusia-manusia pintar yang diselaminya.
- A. Samad Said -
Kandungan
Kata Pengantar oleh Sasterawan Negara A. Samad Said
Selingkar Kata daripada Pengarang
1. Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus
2. Selagi Lading Masing Di Tangan
3. Persidangan Agung Wanita Klasik
4. Afidavit Emosi
5. Ziarah Izrail
6. Konspirasi
7. Kasih Di Pintu Rahim
8. Presiden Rebecca
9. Rindu Seorang Rafik
10. Impian Tsu-Ryi 2
11. Fata Morgana Akhir Musim Yuda
12. Saksi Delima Sakti
13. Pusaka Cendana
14. Citra Mukhlisah
15. Resepi Dari Istana
Aku belajar sesuatu yang baru dari Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus. Aku belajar mengenal siapa mereka, mencari-cari latar belakang mereka yang sebenar bagaimana cinta melankoli antara Sangkuriang dan Dayang Sumbi dan Oedipus dan Jocasta. Banyak versi yang aku baca, tapi tepu dengan fokus yang sama, cinta terlarang mereka. Aku gemar juga dengan Presiden Rebecca bagaimana seorang presiden berjiwa besar yang terpaksa akur dengan sebuah kekejaman. Akhirnya Resepi Dari Istana, aku belajar untuk lebih percaya bahawa apa sahaja yang ditentukan Maha Esa, pasti ada hikmah disebaliknya. Cuma kita, insan biasa tidak faham dan mengerti apa yang terencana untuk kita.
Pinta Tuhan itu mudah,
Pada Redha Ibu Bapa itulah RedhaNya,
Tapi jalannya susah,
Menuntut kesabaran segenap jiwa.